Publication

ACCCIM Press Releases

2 Mar 2024

KENYATAAN MEDIA ACCCIM TENTANG KONGRES EKONOMI BUMIPUTERA (KEB) 2024

Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) memberi pandangan positif terhadap cadangan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 yang berteraskan dasar pembangunan ekonomi negara berdasarkan prestasi dan keperluan, serta dengan pendekatan yang lebih inklusif untuk menangani keperluan golongan rentan.

Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa pendekatan semasa berucap pada penutupan KEB 2024, dan ACCCIM berharap pendekatan-pendekatan ini bukan sahaja dapat membantu Rakyat Malaysia khusus golongan bumiputra, malahan turut akan memberi manfaat kepada semua kaum dalam usaha bersama ke arah perkembangan ekonomi negara. Menurut Presiden Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan, ACCCIM akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk membuat kajian secara mendalam isu-isu yang dibangkitkan pada kongres kali ini, dengan tujuan memberi cadangan dan maklum balas yang lebih terperinci kepada kerajaan.

Low menyatakan kepelbagaian, inklusif, dan toleransi adalah elemen teras dalam membentuk masyarakat yang mampan dan adil. ACCCIM menyokong pendekatan yang lebih holistik dan inklusif untuk menangani masalah ekonomi negara, sesuai dengan “Kerangka Ekonomi Malaysia Madani,” yang menitikberatkan kepada keperluan dan isu-isu golongan rentan dari pelbagai kaum.

ACCCIM bersama dengan persatuan-persatuan perniagaan pelbagai kaum yang lain telah dijemput untuk menghadiri Kongres Ekonomi Bumiputera kali ini dan ACCCIM telah menghantar pemimpin-pemimpin untuk mengikuti setiap sesi perbentangan dan diskusi KEB 2024. Tan Sri Low yang hadir pada hari ini, menyatakan bahawa tema utama kongres “Positif, Progresif, dan Inovatif” sejajar dengan perbincangan dan isu-isu yang dibangkitkan.

Menurut Beliau yang mengikuti sesi rumusan Pengerusi libat urus pada pagi ini, pembentangan beberapa kumpulan telah menunjukkan pandangan yang proaktif dan mempunyai keterangkuman yang menggalakkan semangat keusahawanan, keberanian untuk keluar dari zon selesa, dan menekankan perlunya pengadaptasian kepada pendekatan berdasarkan keperluan serta pengagihan sumber yang berkesan.

Tan Sri Dato’ Low Kian Chuan menyatakan bahawa cabaran yang dihadapi oleh negara datang dari persaingan global. Oleh itu, pendekatan kolektif diperlukan untuk memperluaskan kek ekonomi Malaysia dan persediaan untuk menghadapi cabaran masa depan. Beliau menekankan pentingnya dasar pembangunan bakat dan pendidikan yang inklusif dengan menekankan sistem prestasi, dan berdasarkan keperluan, untuk memastikan semua golongan rentan dari pelbagai kaum akan mendapat bantuan yang saksama.

Low menekankan setiap rakyat Malaysia seharusnya memperoleh peluang yang sama untuk menyumbang dalam pembangunan dan kemajuan negara kita. Ia adalah kunci untuk memperkukuhkan daya saing negara di peringkat antarabangsa. Setiap bakat yang boleh dikembangkan seharusnya mendapat perhatian, dan negara kita sepatutnya berusaha menghentikan aliran keluar bakat-bakat negara. Ini akan mendorong kepada peningkatan dan kemajuan yang berterusan untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

Sesi Gambar bersama YAB Dato’ Sri Anwar, Perdana Menteri
Gambar bersama YB Rizifi, Menteri Ekonomi

Address:

6th Floor, Wisma Chinese Chamber, 258, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur, Malaysia.

Email:

Follow us