Publication

ACCCIM President Speeches

25 Jun 2023

76 AGM Speech

25-6-2022

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera

Yang Berhormat Dato’ Sri Mustapa Mohamed,
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (EKONOMI)

Yang Berhormat Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong,
MENTERI PENGANGKUTAN

Yang Berhormat Tuan Ngwe Hee Sem,
EXCO PERPADUAN, HUBUNGAN MASYARAKAT, TENAGA KERJA DAN HAL EHWAL PENGGUNA KERAJAAN NEGERI MELAKA

Yang Berbahagia Datuk Siow Dek Kuen,
PRESIDEN DEWAN PERNIAGAAN DAN PERINDUSTRIAN CINA MELAKA

Yang Berbahagia Datuk Ng Yih Pyng,
TIMBALAN PRESIDEN ACCCIM

Dif-dif Jemputan

Ahli-ahli ACCCIM,

Rakan-rakan Media,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Terlebih dahulu, izinkan saya mengalu-alukan kedatangan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Yang Berhormat Dato’ Sri Mustapa Mohamed, yang mewakili Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ACCCIM ke-76 pada pagi yang mulia ini. Kehadiran bersama Menteri Pengangkutan Yang Berhormat Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong dan Yang Berhormat Tuan Ngwe Hee Sem turut memeriahkan Majlis kali ini.

2. Sejak negara kita turut dilanda pandemik Covid-19, Mesyuarat Agung Tahunan kali ini dapat berlangsung kembali secara fizikal. Dengan semangat dan ketabahan setiap kita semua, syukur dapat kita melalui pandemik ini dengan daya ketahanan yang lebih kuat.

3. Negara kita sedang berada dalam Fasa Peralihan Endemik Covid-19, komuniti perniagaan berikhtiar untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan, bagi memperkukuhkan semula ekonomi dan perniagaan, demi mencapai pertumbuhan yang mampan.

4. Faktor persekitaran luar dan domestik semasa masih penuh dengan ketidaktentuan dan cabaran. Peperangan Ukraine-Rusia masih berlanjutan, tekanan inflasi sedunia yang tinggi, kos perniagaan yang meningkat naik, gangguan bekalan bahan dan kekurangan tenaga pekerja yang serius menjadi antara isu yang perlu dihadapi oleh sektor perniagaan.

5. Pihak Kerajaan dan swasta perlu senantiasa bekerjasama dan bertukar idea, pandangan dan cadangan untuk bersama mengatasi cabaran-cabaran yang mendatang dengan lebih berkesan dan cekap.

Tuan-tuan dan puan-puan,

6. ACCCIM sebagai salah satu pertubuhan perniagaan yang paling bersejarah di Malaysia, adalah ditunjangi dengan ahli keseluruhan yang melebihi 100,000 orang di seluruh negara. ACCCIM telah memainkan peranan yang penting dalam komuniti perniagaan. Selaras dengan matlamat penubuhan ACCCIM yang kini berusia 101 tahun, kami bertekad untuk terus menyumbang bakti kepada pembangunan sosio-ekonomi dan perniagaan negara.

7. Selama ini ACCCIM telah bergiat aktif dengan mengambil bahagian dalam pelbagai mesyuarat perundingan, libat urus, bengkel yang dianjurkan oleh segenap Kementerian dan Agensi penting yang berkait rapat dengan bidang perniagaan. Kerajaan menghargai pandangan dan sumbangan ACCCIM.

8. YAB Perdana Menteri telah melantik ACCCIM untuk menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sejak hujung tahun lepas. Ini merupakan satu pengikhtirafan yang amat kami hargai. Penglibatan ACCCIM dalam EAC sememangnya memberi ruang bagi ACCCIM untuk mengemukakan isu dan permasalahan ekonomi dan perniagaan negara kepada YAB Perdana Menteri. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada YB Dato Sri Mustapa Mohamed atas sokongan yang tidak berbelah bagi kepada ACCCIM dan SERC untuk bekerja rapat dengan EAC.

Tuan-tuan dan puan-puan,

9. ACCCIM bertekad untuk memperkuatkan peranannya sebagai perantara Kerajaan dan komuniti perniagaan. Kami akan terus memperkukuhkan komunikasi dan kerjasama di antara ACCCIM, ahli gabungan dan Kerajaan dalam menyampaikan maklum balas yang membina pada ketepatan masa. Setiap inisiatif yang diusahakan oleh Kerajaan bagi memudahcarakan pelaburan perniagaan dan pemulihan ekonomi pasti akan kami sampaikan kepada komuniti perniagaan.

10. Bagi ACCCIM, Tinjauan Keadaan Perniagaan dan Ekonomi Malaysia (M-BECS) dijalankan dua kali setiap tahun dan Tinjauan Pantas untuk keadaan terkini turut diadakan dari semasa ke semasa. Hasil tinjauan ini telah menjadi input yang tepat pada masanya kepada Kerajaan. Ia membolehkan pihak Kerajaan lebih memahami isu-isu asas yang dihadapi oleh masyarakat perniagaan. Ini juga membantu bagi mengurangkan jurang persepsi di antara penggubal polisi dan keadaaan sebenar yang dialami oleh masyarakat perniagaan.

11. Bagi hasil tinjauan awal M-BECS yang terkini, tinjauan ini menunjukkan peningkatan harga bahan mentah dan kekurangan tenaga kerja adalah dua cabaran yang terutama buat masa ini, masing-masing mendapat perhatian seramai 62% dan 54% daripada jumlah responden. Ketidakstabilan nilai Ringgit turut menjadi isu ketiga terpenting yang menjadi perhatian responden. Faktor bagi cabaran lain ialah peningkatan kos operasi dan kekurangan bahan mentah.

12. Isu kekurangan tenaga kerja pada fasa pemulihan ekonomi masa ini nyata menjadi tumpuan bagi komuniti perniagaan. Masalah ini sesungguhnya perlu ditangani dengan kadar segera agar tidak menjejaskan produktiviti dan kapasiti pengeluaran. Mengikut libat urus kami dengan Kerajaan, kami memahami Kementerian Sumber Manusia adalah kementerian yang bertanggungjawab penuh dalam menguruskan pengambilan pekerja asing dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) setakat ini telah meluluskan kira-kira 266,000 orang pekerja asing yang akan dibawa masuk. Namun demikian, berita kemasukan ramai tenaga kerja asing yang diluluskan ini tidak dirasai oleh sektor perniagaan secara amnya. Ramai masih bersungut di mana tenaga kerja asing belum sampai walaupun levi sudah dibayar sekian lama. Bagaimanapun, kemudahan temuduga majikan pekerja asing yang kini telah diagihkan ke peringkat negeri, berbanding hanya di Pusat Sehenti di ibu pejabat Kementerian Sumber Manusia sebelum ini adalah satu langkah yang positif. Perkembangan isu tenaga kerja asing ini akan terus kami pantau. Ayuh Kerajaan, bantulah kami dengan segera!

13. Kami juga berbesar hati kerana EAC telah mengambil maklum tentang isu-isu birokrasi, kawal selia dan pematuhan peraturan yang telah menjejaskan prospek pelaburan langsung domestik (DDI), terutamanya oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti yang dibentangkan dalam kertas kerja ACCCIM kepada EAC mengenai Laporan DDI.

14. Kami mengalu-alukan kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang telah memberikan arahan kepada Kementerian dan Agensi Kerajaan yang berkaitan untuk menyemak dan menyelaraskan peraturan, prosedur dan mengurangkan kos pematuhan. Sebagai contoh, Unit MyMudah telah menetapkan matlamat untuk menyelesaikan isu kawal selia peraturan dalam tempoh 60 hari, berbanding sebelum ini yang mengambil masa 6 hingga 12 bulan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

16. ACCCIM berharap Bajet 2023 dan strategi fiskal kerajaan akan memberi tumpuan ke atas langkah memperkukuhkan pemulihan ekonomi dan mengembangkan ekonomi dengan lebih mampan. Hasrat ini hanya akan dapat dicapai melalui pengukuhan daya tahan ekonomi dan kewangan, serta melaksanakan pembaharuan ekonomi yang diperlukan.

17. Elemen perbelanjaan Bajet 2023 harus meneruskan pelaburan dalam perkhidmatan awam yang kritikal, ini termasuklah infrastruktur digital, penjagaan kesihatan, pendidikan dan perlindungan alam sekitar.

18. Kami telah mengemukakan senarai lengkap cadangan dan inisiatif kepada Kementerian Kewangan untuk penyediaan Bajet 2023. Disini, saya ingin mengungkap EMPAT perkara yang menjadi tumpuan cadangan ACCCIM.

Pertama: Membina Kemampanan Fiskal untuk Masa Depan

19. Pada masa Kerajaan terus merangka Bajet negara yang defisit, ia mesti dimulakan dengan membina semula kemampanan fiskal (fiscal buffer) dan menyekat hutang yang semakin meningkat untuk menghadapi cabaran atau kejutan masa depan. Ini memerlukan langkah-langkah Kerajaan untuk meluaskan asas pendapatan negara dan mengkaji semula keutamaan perbelanjaan secara rasional.

20. Kami menyokong pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Berdasarkan tinjauan yang ACCCIM buat pada minggu lepas, 76% daripada jumlah responden bersetuju pada pelaksanaan semula GST, dengan 64% daripada mereka memilih untuk GST diperkenalkan semula pada kadar 4%. Kita harus mengambil iktibar daripada pengalaman lepas. Yang penting kita mesti memastikan urusan pelaksanaan, pentadbiran dan pematuhan GST adalah lebih telus dan cekap, terutamanya bayaran balik GST yang menjadi sungutan di kalangan peniaga sebelum ini. Kesan GST ke atas isi rumah berpendapatan rendah dan PKS mesti dikurangkan. Untuk tujuan mengurangkan kesan pematuhan GST, ia dapat dilakukan melalui pengecualian yang lebih banyak ke atas barangan makanan penting dan nilai ambang pusing ganti jualan yang lebih tinggi untuk PKS.

22. Mengenai rasionalisasi subsidi, Kerajaan harus beralih daripada subsidi produk kepada subsidi kepada isi rumah secara bersasar, dengan berdasarkan prinsip keperluan dan pendapatan serta menjadikan program bantuan tunai diberi secara bersyarat.

Kedua: Pengurusan Inflasi dan Peningkatan Kos Sara Hidup

23. Tekanan inflasi pengguna dijangka berterusan. Inflasi makanan dan kenaikan kos sara hidup sedang menjejaskan kuasa beli isi rumah yang berpendapatan rendah dan sederhana.

24. Dalam jangka pendek, adalah tidak dapat dielakkan bahawa kita perlu lindungi isi rumah yang berpendapatan rendah dengan memberi bayaran tunai atau baucar perbelanjaan secara sekali bantu untuk lindungi mereka daripada kesan kenaikan harga barangan. Langkah lain yang boleh disasarkan termasuk mengurangkan perbelanjaan untuk penjagaan warga emas. Ini termasuk pemberian elaun cukai yang lebih tinggi, kurangkan kos perubatan dan tingkatkan akses kepada ubat dan suplemen kesihatan.

Ketiga: Mendorong Pelaburan Langsung Domestik (DDI)

25. NCCIM dan ACCCIM telah menyeru Kerajaan untuk memacu lebih pelaburan langsung domestik (DDI) sebagai pemangkin pertumbuhan utama untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

26. Meningkatkan pelaburan domestik adalah penting memandangkan keadaan persaingan yang semakin sengit untuk pelaburan asing terus (FDI) di kalangan negara ekonomi serantau. Tidak dapat dinafikan inisiatif yang lebih baik untuk menarik FDI telah dijalankan oleh Indonesia, Vietnam dan Thailand.

27. Antara cadangan utama yang perlu dipertimbangkan oleh Kerajaan termasuklah mempertingkatkan iklim pelaburan yang lebih baik; Elaun Modal dipercepatkan yang lebih tinggi; Elaun Pelaburan untuk pelaburan Hijau; peruntukan yang lebih tinggi untuk automasi dan digital; dan memperbaiki interaksi Kerajaan-Sektor Perniagaan pada pihak berkuasa Persekutuan, Negeri dan Tempatan, mengurangkan kerenah birokrasi, kos peraturan dan pematuhan serta prosedur yang rumit.

Keempat: Menangani Isu Keselamatan Makanan

28. Keselamatan makanan, harga mampu milik dan kestabilan harga makanan menjadi isu utama negara. Kedua-dua pihak Kerajaan dan swasta perlu bekerjasama untuk memastikan bekalan makanan yang selamat dan mencukupi. Selain daripada kejutan bekalan yang tidak dijangka dan kenaikan permintaan, faktor perubahan iklim merupakan satu risiko besar yang boleh menjejaskan keluaran makanan.

29. Beberapa langkah campur tangan dan pentadbiran jangka pendek seperti subsidi, kawalan harga dan penetapan harga siling, dan sekatan eksport untuk mengekalkan atau memperbaiki bekalan akan mengakibatkan kesan sampingan seperti kos peluang dan salah harga sumber.

30. Untuk meminimumkan kesan campur tangan pasaran, Kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan untuk menggalakkan persaingan dalam rantaian bekalan makanan, mengurangkan perlindungan, menghapuskan Permit Import untuk membina rantaian bekalan makanan dan sistem pengurusan yang berdaya tahan dan cekap. Ini akan melibatkan penanam, pemborong makanan, peruncit dan pemproses industri makanan.

31. Kekurangan bekalan tanah ladang pertanian perlu ditangani. Hanya 5.5% daripada jumlah kawasan tanaman (hampir 450,000 hektar) diperuntukkan untuk buah-buahan, sayur-sayuran, herba, spesies dan tanaman makanan lain. Ini berbanding dengan kawasan tanaman untuk pokok kelapa sawit dan pokok getah yang jauh lebih besar.

32. Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menyemak semulaTemporary Occupation Lease (TOL) dengan menyediakan pajakan tanah selama 30 tahun, dengan syarat usaha pertanian perlu dijalankan dalam tempoh yang ditetapkan. Untuk semua tanah ladang sedia ada, lanjutkan tempoh pajakan kepada sekurang-kurangnya 30 tahun untuk menggalakkan pelaburan semula dan pemodenan.

33. Kerajaan mesti menggalakkan penggunaan teknologi dan pertanian pintar. Negara Belanda, Taiwan, Korea Selatan dan China memberi contoh yang baik tentang mekanisma untuk meningkatkan hasil pertanian yang menggabungkan teknologi canggih dan pertanian moden.

Tuan-tuan dan puan-puan,

34. Dalam masa yang mencabar dan rumit ini, kita harus berfikiran kreatif. Kita harus tangkas dan bersedia untuk menghadapi persaingan sengit dalam pasaran domestik dan antarabangsa. Saya petik Hans Thomas yang pernah menyebut, “PELUANG ADALAH UNTUK MEREKA YANG BERSEDIA UNTUK MENGAMBILNYA”.

35. ACCCIM akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan dan sektor perniagaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur dan mesra pelaburan.

36. Dengan ini, saya akhiri ucapan dengan ribuan terima kasih dan selamat maju jaya untuk anda semua.

37. Sekian, terima kasih!

Address:

6th Floor, Wisma Chinese Chamber, 258, Jalan Ampang, 50450 Kuala Lumpur, Malaysia.

Email:

Follow us